RINGKASAN
SELENDANG TUN FATIMAH
SUNDANG MELAKA
Selendang Tun Fatimah Sundang Melaka mengisahkan suka duka hidup Tun Fatimah sebagai anak gadis kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, isteri dan balu kepada Tun Ali serta permaisuri Sultan Kerajaan Melayu Melaka, Sultan Mahmud Syah. Dia juga ibu kepada puteri Tun Terang dengan Tun Ali dan ibu kepada Raja Putih, Raja Khadijah dan Raja Ali dengan Sultan.
Tun Fatimah harus bijaksana menghadapi tantangan hidup. Dalamannya, dia menderita kerana ayah dan suaminya serta Seri Nara Diraja dan Tun Hassan Temenggung ekoran fitnah pedagang Keling, Kitul dan Syahbandar Raja Mendaliar. Ini juga membawa dia keguguran apabila menjadi permaisuri. Luarannya, sebagai permaisuri dia harus bijaksana dan setia membantu Sultan mentadbir Melaka yang sedang menuju kemerosotan sehingga dijajah oleh Portugis.
Tun Fatimah berkemampuan menggunakan kuasanya terhadap Sultan kerana Sultan terlalu mencintainya. Sultan sedia menikahinya walaupun dia sudah mempunyai seorang puteri. Inilah kali pertama Sultan bernikah dengan janda! Dengan kekayaan yang diwarisi daripada ayahnya Tun Fatimah mampu membawa diri. Sebaliknya setia bersama-sama Sultan mempertahankan kesultanan Melaka dan menentang penjajahan Portugis.
Kerana Tun Fatimah Sultan berubah sikap dan insaf. Sultan menghukum bunuh pembawa fitnah; turun takhta dan hidup ‘menebus dosa’; membunuh Sultan Ahmad penggantinya yang ‘membuang akmal raja-raja’; menunaikan janji dengan menabalkan Raja Ali mengganti Raja Muzaffar.
Dengan menyusun hidup Sultan membolehkan zuriat kesultanan Melaka berkembang dalam kesultanan Melayu hingga sekarang.
Dengan apa kita akan permaisurikan Tun Fatimah? Bayangkan Sultan Mahmud, kerajaan Melaka dan Melayu tanpa Tun Fatimah. Betapa kita terhutang dengan Tun Fatimah.
Teater Muzikal Melayu Selendang Tun Fatimah Sundang Melaka ini berpandukan buku Sulalatus Salatin (DBP, 1979, diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad) dan rujukan sejarah Kerajaan Melayu Melaka.
WATAK
1. TUN FATIMAH.
Gadis. Isteri. Ibu. Balu. Permaisuri.
Cantik. Berani. Bijak. Reda. Cekal. Setia.
2. SULTAN MAHMUD SYAH.
Berkuasa. Insaf. ‘Tebus dosa’.
PEMBESAR/KERABAT DIRAJA
3. BENDAHARA SERI MAHARAJA TUN MUTAHIR. Sepupu Tun Perak.
4. TUN ALI. Anak Seri Nara Diraja.
5. SERI NARA DIRAJA. Abang Tun Mutahir.
6. TUN HASSAN TEMENGGUNG. Abang Tun Fatimah.
7. TUN SURA DIRAJA.
8. TUN INDERA SEGARA.
9. LAKSAMANA KHOJA HASSAN. Menantu Hang Tuah.
10. SANG SURA (budak raja).
11. SULTAN AHMAD.
12. RAJA DIBARUH.
13. RAJA MUZAFFAR.
14. PENGETUA (dayang kanan kepada Tun Fatimah).
15. PEMBESAR 1
16. PEMBESAR 2
17. PEMBESAR 3
PEDAGANG
18. RAJA MENDALIAR (SYAH BANDAR).
19. NINA SURA DEWANA.
20. KITUL.
KANAK-KANAK
21. TUN TERANG.
22. RAJA PUTIH.
23. RAJA KHADIJAH.
24. RAJA ALI.
KUMPULAN
25. DAYANG-DAYANG. (@ 10 Penari)
26. HULUBALANG. (@ 10 Penari)
27. PORTUGIS. (@ 10 Penari)
28. GADIS-GADIS JELITA. (@ 10 Penari)
29. ANAK-ANAK MUDA. (@ 10 Penari)
TREATMENT
SELENDANG TUN FATIMAH
SUNDANG MELAKA
Ladin Nuawi
Di sisi lelaki agung terdapat wanita mulia
1. BUKA PANGGUNG
KEAGUNGAN KERAJAAN MELAYU MELAKA.
Keagungan Kerajaan Melayu Melaka, wilayah pemerintahan dan pelabuhannya (multi media). Rakyat dan Pembesar meriah di Kota Melaka/pelabuhan (tarian dan nyanyian. Semua dengan kegiatan tersendiri. Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan pengiring datang buat lawatan. Kitul, Raja Mendaliar (Syah Bandar) dan Nina Sura Dewana sibuk cuba mengampu Bendahara. Tun Fatimah dan Dayang-dayang menghalang Kumpulan Jahat (Portugis) yang cuba mengacau.
2. PERKASIHAN TUN FATIMAH – TUN ALI
Dayang-dayang dan Tun Fatimah menyanyi peri kecantikan dan pekerti (lagu Tun Fatimah). Mereka meninggalkan Tun Fatimah dan Tun Ali bercinta (‘di sebalik jendela’).
3. NASIHAT RAJA DIBARUH
Raja Dibaruh menasihati Bendahara supaya ditunjuk kepada Sultan, “janganlah anakanda diberi suami dahulu; baik juga ditunjukkan kepada Yang Dipertuan, kerana sekarang negeri Melaka tiada raja Perempuan, kerana permaisuri Pahang sudah mangkat; yang istiada raja Melayu, apabila tiada beraja perempuan, anak Bendaharalah akan jadi raja perempuan”. Bendahara menolak kerana mereka orang biasa.
4. PERNIKAHAN TUN FATIMAH – TUN ALI
Selawat dan tari. Majlis meriah persandingan Tun Fatimah-Tun Ali. Sultan terpesona dengan kecantikan Tun Fatimah.
5. SULTAN MAHMUD (angau dan dendam)
Dalam kamar diraja, Sultan yang duda ini angau akan Tun Fatimah. Baginda mulai menyimpan dendam dengan Bendahara.
6. KEBAHAGIAAN TUN FATIMAH – TUN ALI
(Lagu) Tun Fatimah dan Tun Ali bahagia menimang puteri Tun Terang.
7. SULTAN MAHMUD (angau dan dendam)
Sang Sura lucu menghiburkan hati Sultan dengan menyebut dan menunjukkan gadis-gadis yang cantik. Sultan menolak semuanya.
8. FITNAH
Konflik di kalangan pedagang Keling. Kitul bermasalah dengan ahli keluarganya, Nina Sura Dewana. Nina pula bermasalah dengan Syah Bandar Raja Mendaliar. Kitul mereka cerita kepada Raja Mendaliar yang Nina mengupah Bendahara untuk membunuhnya. Raja Mendaliar melupuskan hutang Kitul kepadanya. Raja Mendaliar segera pergi berjumpa dengan Laksamana Khoja Hassan dengan menyatakan yang Bendahara sedang bersiap untuk merampas takhta Sultan. Laksamana gelap mata melihat harta persembahan Raja Mendaliar kepadanya.
9. KERIS TITAH SULTAN MAHMUD
Laksamana Khoja Hassan menyembah dan mengadu kepada Sultan. Dia kepercayaan Sultan. Sultan dihasut dendam kepada Bendahara dan kesayangannya kepada kerajaan. Sultan menyerahkan ‘keris titah’ (membunuh) kepada Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara.
10. HUKUMAN BUNUH
Suasana riang bertukar sedih di halaman rumah Bendahara. Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara datang dan menunjukkan keris titah kepada Bendahara. Pengikut Bendahara hendak menentang titah tetapi Bendahara melarang, “Hendak membinasakan nama orang tua-tua kitakah engkau? Kerana adat Melayu tiada pernah derhaka. … Barang yang telah berlaku, pada hukum Allah itu, hamba pun redalah.”
Di suatu tempat, Bendahara, Seri Nara Diraja, Tun Hassan Temenggung dan Tun Ali berwuduk sebelum reda dengan kematian. Sebelum itu, ucapan terakhir antara Tun Ali dan Tun Fatimah serta Tun Terang. Tun Fatimah menyaksikan dengan berani hukuman bunuh dilaksanakan.
11. KESEDIHAN TUN FATIMAH
Tun Fatimah melayani kesedihannya dengan merintih, menimang dan menasihati Tun Terang.
12. TUN FATIMAH dan PINANGAN
Tun Fatimah bersyair melayani kesedihannya - kebahagiaan sebagai isteri direntap tiba-tiba. Dia makin tertekan dan perlu membuat keputusan bijaksana menerima risik-risik dan pinangan Sultan. Tiap kali dia menolak, dia harus menerima. Tiap kali menerima, dia menolak. Bijaksanalah akhirnya.
13. PERNIKAHAN SULTAN dgn TUN FATIMAH
Majlis meriah. Penikahan Tun Fatimah dan Sultan. Tun Fatimah dipakaikan tiara. Sultan dipuncak ‘kuasa’.
14. PERADUAN MALAM
Kamar diraja, Sultan beradu. Sekarang, Tun Fatimah ‘berkuasa’ untuk membalas dendam (membunuh atau meracun Sultan). Tun Fatimah menolak bisikan-bisikan jahat. Derita Tun Fatimah: Musuhnya adalah suaminya yang agung di alam Melayu.
15. KEINSAFAN SULTAN
Barang-barang Tun Fatimah dan Bendahara diangkut pindah ke istana. Sultan dapati tiada satupun tanda-tanda barang Bendahara akan menderhaka. Sorot mata Tun Fatimah yang berkata-kata. Sultan berubah sikap. Sultan amat menyesal menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
SEJAK INI SULTAN BERUBAH SIKAP.
16. KITUL RAJA MENDALIAR DIHUKUM BUNUH.
Sultan menjalankan penyiasatan dan pengadilan. Semua ini angkara fitnah Kitul dan Raja Mendaliar. Mereka dijatuhkan hukuman bunuh.
17. TUN FATIMAH KEGUGURAN
Sejak terbukti siapa bersalah, Tun Fatimah masih kemurungan. Dia beberapa kali keguguran. Sultan berjanji, kalau Tun Fatimah melahirkan putera, Sultan akan tabalkan sebagai pengganti takhta. Namun begitu Tun Fatimah hamil dan kedua-duanya anak perempuan, iaitu Raja Putih dan Raja Khadijah.
18. SULTAN TURUN TAKHTA.
Untuk ‘menebus dosa’, Sultan turun takhta. Menabalkan anakandanya Raja Ahmad sebagai pengganti. Tun Fatimah akur walaupun mampu menghalang Sultan daripada turun takhta.
19. SULTAN DAN TUN FATIMAH JADI ORANG BIASA.
Sultan sekeluarga dan bertemankan Sang Sura berpindah duduk di Hulu Melaka. Tun Fatimah setia mengikut (sebagai tanda bukan gila kuasa).
20. HULU MELAKA/MELAKA HURU-HARA.
Portugis menawan Kota Melaka. Sultan Ahmad berundur ke Hulu Melaka. Sultan Mahmud membantu dan mengikut Sultan Ahmad berundur dan menyerang Portugis. Tun Fatimah memainkan dua peranan penting, menjaga keluarga dan membela negara.
21. BINTAN.
(Di Bintan) Sultan Ahmad masih ulangi perangai lama dengan asyik bersuka ria dengan golongan muda dan tidak mempedulikan pembesar. Sultan Mahmud menitahkan Sultan Ahmad dibunuh secara senyap kerana ‘membuang akmal raja-raja’. Sultan Mahmud menabalkan Raja Muzaffar sebagai pengganti Sultan Ahmad dan nikahkan dengan Tun Terang.
22. SULTAN TUNAI JANJI.
(Di istana Kopak) Tun Fatimah melahirkan anak lelaki dan dinamakan Raja Ali.
Sultan Mahmud menunaikan janjinya dengan menabalkan Raja Ali (bergelar Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah) sebagai pengantinya dengan menggantikan Sultan Muzaffar Syah.
23. PENUTUP (KEMANGKATAN TUN FATIMAH)
Dengan apa kita akan permaisurikan Tun Fatimah? Bayangkan Sultan Mahmud, kerajaan Melaka dan Melayu tanpa Tun Fatimah. Betapa kita terhutang dengan Tun Fatimah.
Dunia Melayu Terlalu Terhutang Dengan Tun Fatimah